Ibn Qayyim al-Jauziyah adalah seorang Imam dan sarjana dalam mazhab Hanbali. Imam ini lahir pada tahun 691H. Beliau sangat berpengaruh dalam dunia kesarjanaan Islam. Bidangnya meliputi fekah, hadis, tafsir dan sumber agama (usuluddin). Kepakarannya sangat dikagumi oleh rakan dan lawan, peminat dan pengkritik sehinggalah hari ini.
Pencapaian cemerlang Ibn Qayyim al-Jauziyah bermula daripada siapa guru-gurunya. Kegigihannya menuntut ilmu daripada ramai ilmuan dan sarjana menjadikan dirinya matang dengan ilmu. Malahan, kefahamannya tentang teks agama yang begitu menyerlah berpunca daripada kesabarannya menadah imu daripada para gurunya.
Menurut buku The Biography of Imam Ibn al-Qayyim, beliau telah belajar daripada para sarjana Islam yang hebat dan mendalam ilmunya. Mereka menjadi penyalur ilmu yang sahih dan kefahaman yang tepat kepada Ibn Qayyim. Antara ulama itu ialah ayahnya sendiri (Qayyim al-Jauziyah), Ibn Taimiyyah, Ibn Muflih, al-Mizzi dan 17 orang lagi. Semuanya adalah pakar dan bertaraf sarjana tersohor pada zaman itu. Ibn Qayyim benar-benar menyerap ilmu daripada mereka dengan begitu baik.
Ibn Qayyim juga belajar daripada para ulama’ yang berbeza mazhab dengannya. Ini menunjukkan para ulama seperti Ibn Qayyim tidak mempunyai prejudis terhadap sebarang bentuk cara beragama, kefahaman dan metodologi yang berbeza dengannya. Contohnya, Ibn Qayyim belajar dari tokoh ilmuan bermazhab Shafie seperti Ibn Maktum, al-Mizzi, al-Safi al-Hindi, al-Zamlikani dan al-Badar ibn Jama’ah.
Jika tokoh hebat seperti Ibn Qayyim boleh menadah ilmu daripada para ulama yang berbeza pandangan dengannya, maka kita juga wajar mencontohinya. Perbanyakkanlah guru dalam belajar agama. Tambahan pula kalau mempelajari ilmu dari guru yang pakar dan berbeza cara berfikir dengan kita. Ia akan mematangkan proses pembelajaran.
Lebih menarik, Ibn Qayyim juga belajar dari seorang pakar hadith wanita. Namanya Bint Jauhar (Fatimah Umm Muhammad bint Ibrahim ibn Mahmud Ibn Jawhar al-Bata’ihi). Beliau adalah pakar bidang sanad dan juga hadis. Ini membuktikan bahawa wanita juga boleh menjadi pakar rujuk agama. Fakta ini sekaligus menafikan pandangan golongan Islam Liberal yang menyatakan institusi keilmuan klasik Islam tidak memberi tempat kepada wanita.
Kecintaan Ibn Qayyim terhadap ilmu dan aktiviti pembelajaran perlu dicontohi. Beliau adalah peribadi contoh dan model insan yang memiliki kepintaran beragama yang tinggi.
Oleh,
MOHD AL ADIB SAMURI
www.al-adib.net